KENALI SIMUNJAN

 

Daerah Simunjan adalah salah satu daerah di bawah Pentadbiran Bahagian Samarahan. Keluasan Daerah Simunjan ialah 23,277 km persegi. Ia terletak kira-kira 176 km dari Bandar Kuching berdasarkan jalan darat dan 103 km melalui jalan air. Manakala Sebuyau dan Gedong adalah di bawah pentadbiran Daerah Simunjan. Bentuk muka bumi Simunjan secara keseluruhannya adalah berbukit-bukau, pergunungan di kawasan paya dan rendah di tepian pantai. Sungai Batang Sadong merupakan sungai utama bagi Daerah Simunjan. Pekan-pekan penting di bawah pentadbiran Simunjan ialah Simunjan, Gedong, Sebangan,  Sebuyau dan Tebelu. Jumlah penduduk Daerah Simunjan ialah 38,098 orang yang terdiri daripada pelbagai suku kaum.

Secara keseluruhannya, pekerjaan utama penduduknya ialah petani, pekebun dan nelayan. Ketua Pentadbiran bagi Daerah Simunjan ialah Pegawai Daerah. Manakala Ketua Pentadbiran Daerah Kecil Sebuyau ialah Pegawai Pentadbir Sarawak. Di beberapa buah pekan penting, telah ditempatkan seorang Pembantu Am Rendah untuk mewakili jentera Pentadbiran Daerah di Kawasan tersebut. Pekan-pekan yang diwakili oleh Pembantu Am Rendah ialah Gedong dan Sebangan.

Di samping itu, Pentadbiran Daerah dibantu oleh ketua-ketua masyarakat yang dibayar gaji bulanan yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri untuk mentadbir hal-ehwal adat istiadat kaum masing-masing mengikut kawasan yang telah ditetapkan untuk mereka. Bagi Daerah Simunjan, terdapat 3  orang pemanca iaitu Pemanca Cina, Iban dan Melayu.

Selain itu, Daerah Simunjan juga mempunyai lima orang Penghulu Melayu, enam orang Penghulu Iban dan dua orang Penghulu Cina. Pentadbiran setiap penghulu dibantu oleh ketua-ketua kaum yang telah dilantik Kerajaan Negeri untuk mewakili jentera Pentadbiran Daerah di kawasan kampung masing-masing. Bagi pentadbiran pembangunan daerah, Pegawai Daerah selaku ketua akan dibantu oleh Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua-ketua Jabatan dari Agensi Kerajaan dan badan berkanun.

Semua perancangan pembangunan daerah dibincang dan dirancang serta diselaras oleh Jawatankuasa Pembangunan Daerah yang di pengerusikan oleh Pegawai Daerah sebelum ia dibawa kepada Jawatankuasa Pembangunan Bahagian.

Daerah Simunjan telah wujud sejak era pemerintahan British lagi iaitu sebelum tahun 1900. Ketika itu Gedong, Sebangan dan Pendam lebih dikenali sebagai Sadong Jaya dan kini berada di bawah pentadbiran Simunjan. Daerah Kecil Sebuyau pula dahulu adalah di bawah pentadbiran Simanggang atau Sri Aman.

Setelah Bahagian Samarahan ditubuhkan pada 24 Julai 1986, Pendam (Sadong Jaya) telah ditempatkan di bawah pentadbiran Asajaya atau Nonok iaitu sebuah daerah yang baru di Sarawak. Manakala Sebuyau pula telah diletakkan di bawah pentadbiran Daerah Simunjan termasuk juga Sebangan dan Gedong.