KENALI SIMUNJAN

 

Daerah Simunjan adalah salah satu daerah di bawah Pentadbiran Bahagian Samarahan. Keluasan Daerah Simunjan ialah 23,277 km persegi. Ia terletak kira-kira 176 km dari Bandar Kuching berdasarkan jalan darat dan 103 km melalui jalan air. Manakala Sebuyau dan Gedong adalah di bawah pentadbiran Daerah Simunjan. Bentuk muka bumi Simunjan secara keseluruhannya adalah berbukit-bukau, pergunungan di kawasan paya dan rendah di tepian pantai. Sungai Batang Sadong merupakan sungai utama bagi Daerah Simunjan. Pekan-pekan penting di bawah pentadbiran Simunjan ialah Simunjan, Gedong, Sebangan,  Sebuyau dan Tebelu. Jumlah penduduk Daerah Simunjan ialah 38,098 orang yang terdiri daripada pelbagai suku kaum.

Secara keseluruhannya, pekerjaan utama penduduknya ialah petani, pekebun dan nelayan. Ketua Pentadbiran bagi Daerah Simunjan ialah Pegawai Daerah. Manakala Ketua Pentadbiran Daerah Kecil Sebuyau ialah Pegawai Pentadbir Sarawak. Di beberapa buah pekan penting, telah ditempatkan seorang Pembantu Am Rendah untuk mewakili jentera Pentadbiran Daerah di Kawasan tersebut. Pekan-pekan yang diwakili oleh Pembantu Am Rendah ialah Gedong dan Sebangan.

Di samping itu, Pentadbiran Daerah dibantu oleh ketua-ketua masyarakat yang dibayar gaji bulanan yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri untuk mentadbir hal-ehwal adat istiadat kaum masing-masing mengikut kawasan yang telah ditetapkan untuk mereka. Bagi Daerah Simunjan, terdapat 3  orang pemanca iaitu Pemanca Cina, Iban dan Melayu.

Selain itu, Daerah Simunjan juga mempunyai lima orang Penghulu Melayu, enam orang Penghulu Iban dan dua orang Penghulu Cina. Pentadbiran setiap penghulu dibantu oleh ketua-ketua kaum yang telah dilantik Kerajaan Negeri untuk mewakili jentera Pentadbiran Daerah di kawasan kampung masing-masing. Bagi pentadbiran pembangunan daerah, Pegawai Daerah selaku ketua akan dibantu oleh Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua-ketua Jabatan dari Agensi Kerajaan dan badan berkanun.

Semua perancangan pembangunan daerah dibincang dan dirancang serta diselaras oleh Jawatankuasa Pembangunan Daerah yang di pengerusikan oleh Pegawai Daerah sebelum ia dibawa kepada Jawatankuasa Pembangunan Bahagian.

Daerah Simunjan telah wujud sejak era pemerintahan British lagi iaitu sebelum tahun 1900. Ketika itu Gedong, Sebangan dan Pendam lebih dikenali sebagai Sadong Jaya dan kini berada di bawah pentadbiran Simunjan. Daerah Kecil Sebuyau pula dahulu adalah di bawah pentadbiran Simanggang atau Sri Aman.

Setelah Bahagian Samarahan ditubuhkan pada 24 Julai 1986, Pendam (Sadong Jaya) telah ditempatkan di bawah pentadbiran Asajaya atau Nonok iaitu sebuah daerah yang baru di Sarawak. Manakala Sebuyau pula telah diletakkan di bawah pentadbiran Daerah Simunjan termasuk juga Sebangan dan Gedong.

 


 

MAKLUMAT AHLI PARLIMEN/ADUN DAERAH SIMUNJAN

 

 

YB Dato Sri Hajah Nancy Hj Shukri

Ahli Parlimen P.200 Batang Sadong

 

YB Hajah Nancy Binti Haji Shukri telah dilahirkan pada tanggal 5 Ogos 1961 di bandaraya Kuching. Kenangan zaman kanak-kanak yang paling beliau tidak boleh lupakan adalah semasa beliau dipertanggungjawabkan untuk memegang dulang yang membawa gunting yang akan digunakan oleh perdana menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman dalam satu upacara perasmian di Santubong. Beliau kini berusia 54 tahun, telah berkahwin dan hasil perkongsian bersama suami, pasangan ini telajh dikurniakan tiga orang cahaya mata.

 

YB Hajah Nancy Haji Shukri memegang Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Executive Masters in Business Administration) dari Ohio University, Amerika Syarikat. Pengalaman getir semasa menuntut di luar negara ini tidak akan dapat beliau lupakan. Beliau terpaksa membawa bersama anak yang berusia satu setengah tahun, dan di sana beliau telah melalui pelbagai dugaan dan cabaran.

 

Selain daripada membaca, YB Hajah Nancy Haji Shukri juga kerap menulis artikel-artikel samada untuk akhbar-akhbar tempatan atau pun disimpan dalam rekod beliau. Beliau berharap satu hari nanti tulisan-tulisan beliau akan dapat dikumpulkan dan diterbitkan sebagai sebuah buku. Beliau menyifatkan autobiografi Benazir Bhutto, The Daughter of the East, sebagai buku yang terbaik yang pernah beliau baca. Beliau begitu berminat untuk tahu bagaimana seorang pemimpin wanita Islam mampu berhadapan dengan segala rintangan dan cabaran di dalam sebuah negara yang sering dibayangi bahaya.

 

(sumber : http://www.barisannasional.org.my/mp/nancy-binti-haji-shukri )

 

 

 

 

ybawla

YB Awla Bin Dris

ADUN N.25 Simunjan

 

Ahli Dewan Undangan Negeri Simunjan ini berasal dari Kampung Keleka, Simunjan.