Asal Usul Nama "SIMUNJAN"

Terdapat pelbagai versi cerita yang telah disampaikan oleh  orang-orang tua di Daerah Simunjan mengenai asal usul nama SIMUNJAN diperolehi. Antaranya :

 

 

Cerita Rakyat 1

Menurut cerita, Daerah Simunjan mendapat nama daripada seorang pedagang Cina yang datang ke Simunjan. Pedagang Cina tersebut datang dengan menggunakan wangkang (sejenis kapal layar), beliau turut membawa tembakau dan garam. Pedagang Cina tersebut berhenti berehat dan melabuhkan wangkangnya di seberang sungai Simunjan. Kemudian beliau terus naik ke darat dan menjemur jan (tembakau dalam bahasa Cina) dalam keadaaan cuaca yang mendung .

Perbuatan pedagang Cina tadi telah menyebabkan orang Melayu yang berada di situ tersenyum lalu berkata:"Semunlah Jan" kau itu. Sejak itu perkataan "Semun" (lembab) dan "Jan" bermain dibibir orang Melayu di kawasan itu. Mulai dari itu juga penduduk kawasan itu menggelar kawasan tersebut sebagai "SIMUNJAN".

 

 


Cerita Rakyat 2

Simunjan berasal dari perkataan Melayu Sarawak, di mana pada zaman dahulu, penduduk asalnya terdiri daripada penduduk kampung seberang iaitu dari kawasan Ensengei yang berhijrah ke sini. Kebanyakan penduduk pada zaman dahulu bekerja di lombong arang batu. Ketika hendak menyalakan mancis untuk membakar arang batu, mancis yang digunakan menjadi lembab atau dalam bahasa Melayu Sarawaknya dipanggil “semun”.

Keadaan ini berlaku akibat hujan yang seringkali turun pada ketika itu menyebabkan mancis tersebut menjadi lembab dan memandangkan kawasan tersebut masih belum diberi nama, maka penduduk asalnya menggabungkan perkataan “semun” dan “hujan” hingga dinamakan Simunjan. Itulah asal-usulnya hingga diberi nama "SIMUNJAN" .


 

 

 

Gambar : Pak Japid Sebagai tokoh pahlawan yang unggul di Simunjan( Suratkhabar Mingguan Sarawak – 25 April 2004/Ahad 

 

 

LAGENDA PAHLAWAN DAERAH SIMUNJAN (PAK JAPID)

 

Nama Allahyarham Pak Japid mungkin tidak sama gah seperti pahlawan Rosly Dhobi, Sharif Masahor dan Rentap. Hanya masyarakat awal di Daerah Simunjan yang mengetahui sejarah perjuangan serta sifat beraninya menentang penjajah Jepun. Sikap beraninya menentang penjajah tetap segar diingatan penduduk walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu. Semua ini dilakukan demi kepentingan bangsa dan tanah air serta tidak mahu melihat Jepun terus bertapak dan bermaharajalela. Mustapha Affendi Bujang Ahi, 70 menyifatkan Pak Japid seorang yang berani dan pejuang Melayu tulen yang harus dijulang sama seperti pahlawan lain. Pak Japid dikatakan memberontak menentang Jepun apabila ditangkap kerana enggan meminjamkan perahu kepada Jepun. Hal ini kerana pada masa itu hanya Pak Japid yang memiliki perahu besar atau dikenali "perahu bandung" dalam kalangan penduduk. Oleh kerana tidak tahan dengan sikap tentera Jepun yang bertindak kasar terhadap penduduk, beliau bangun memberontak untuk menentang Jepun.

Oleh kerana keberaniannya, beliau telah dibunuh pihak Jepun berdekatan Sungai Simunjan. Pak Japid ditetak beberapa kali dibahagian badannya secara bertubi-tubi, tetapi tidak memperlihatkan sebarang kesan luka atau calar. Oleh sebab yang demikian, pihak Jepun dengan kejam menimbus Allahyarham hidup-hidup ke dalam lubang. Dipercayai selama tujuh hari tujuh malam Allahyarham Pak Japid meraung meminta tolong. Allahyarham dipusarakan di kawasan Sungai Simunjan dan kawasan tersebut dikatakan keramat serta terkenal oleh masyarakat setempat sebagai tempat untuk memasang niat pada masa itu. Bagi mengingati perjuangan Allahyarham, penduduk telah memindahkan semula makamnya ke tanah perkuburan Simunjan. Sepanjang pemerintahan tentera Jepun, layanan adalah baik kepada masyarakat Melayu tetapi sebaliknya kepada masyarakat Cina. Kebanyakan mereka diseksa sesuka hati dengan cara yang paling angkuh dan kejam. Jepun pada masa itu datang dari Miri dengan menggunakan dua buah perahu kotak, mereka singgah di Engsengei yang lebih dikenali sebagai Pangkalan Mon pada masa itu.

 


 

 "Boiler" digunakan untuk membakar batu arang

 

SEJARAH PERLOMBONGAN BATU ARANG

 

Pada masa dahulu, Daerah Simunjan memang terkenal dengan Perlombongan Arang Batu. Bekas lombong masih lagi terdapat di kawasan Gunung Ngeli, Simunjan. Antara khazanah yang masih dijaga sehingga kini ialah"Boiler". "Boiler" ialah sejenis alat pembakar batu arang semasa pemerintahan British pada masa dahulu. Pada masa dulu perlombongan arang batu giat dijalankan di kawasan Gunung Ngeli Simunjan pada awal 60-an. Kini perlombongan tersebut sudah tidak aktif lagi dan kini meninggalkan kesan perlombongan di kawasan tersebut.

 

 

 Kini "Boiler" tersebut di bawah penjagaan pihak Majlis Daerah Simunjan. Menurut sejarah ia telah wujud sekitar tahun 1941-1945 dahulu. Khazanah ini kini diletakkan berhampiran dengan Majlis Daerah Simunjan dan dijaga dengan rapi.